Ada Tiga Hari Raya Umat Islam Di Dunia: Semoga Kita Lebih Hargai

Hari raya

Menyebut tentang hari raya dalam kalendar Islam barangkali bagaimana kefahaman kita tentangnya? Adakah kita masih terikat dengan pengalaman atau kenangan meraikannya sama seperti waktu kecil dahulu atau kita sudah memahaminya dalam sudut ilmu dan agama?

Mungkin sebelum ini ada dalam kalangan kita yang lebih seronok dan teruja menyambut Aidilfitri, namun Aidiladha suam-suam sahaja. Mungkin ada juga yang meraikannya kedua-duanya namun terlupa akan satu lagi hari raya.

 Ada hari raya ketiga?

Ya,  Allah menghadiahi hamba-Nya yang beriman bukan hanya dengan satu atau dua sebaliknya tiga hari raya sejak di dunia lagi. Dua hari tersebut hanya kita raikan setahun sekali iaitu Aidilfitri dan Aidiladha manakala satu lagi sentiasa berulang sekali setiap seminggu. Jawapannya sudah tentu hari Jumaat yang menjadi penghulu hari.

Pastinya ketiga-tiga hari raya di dunia ini mempunyai pelbagai kelebihan dan ganjaran yang tersendiri apatah lagi Allah sendiri menjanjikannya bagi mereka yang menghidupkan amal soleh padanya. Mari kita teliti keistimewaan sebenarnya;

Hari raya
Credit : Farhan Azam @paan_azam13 – Unsplash

Hari Raya Pertama: Hari Jumaat

Banyak peristiwa yang besar berlaku pada hari ini. Antaranya hari manusia pertama iaitu Nabi Adam  diciptakan, dimasukkan ke dalam Syurga dan dikeluarkan dari Syurga. Hari Kiamat juga bakal berlaku pada hari yang menjadi salah satu hari mustajab doa ini.

Rasulullah menyebut yang bermaksud: “Matahari tidak terbit dan terbenam pada hari yang lebih baik daripada Jumaat.”

Ada juga riwayat menyebutkan: “Sesungguhnya Allah mengampunkan dosa orang Islam pada hari Jumaat.”

Solat Jumaat menjadi himpunan seluruh umat Islam saban minggu. Mengerjakan solat Jumaat mempunyai fadilat yang besar iaitu dapat menghapuskan dosa sehingga Jumaat seterusnya sekiranya tidak melakukan sebarang dosa besar. Menurut Imam Ibn Rajab al-Hanbali dalam kitabnya, hari raya yang disambut pada hari ini adalah usai kita selesai menyempurnakan solat yang merupakan salah satu rukun  Islam setelah bersyahadah.

Hari Raya Kedua: Aidilfitri

Kenapa Allah menghadiahi Aidilfitri kepada hamba-Nya?

Allah menjamin hamba-Nya yang mendirikan Ramadan dengan iman dengan ganjaran yang cukup besar iaitu beroleh keampunan dan jua terlepas daripada azab api neraka.

Sudah pasti, setelah kita selesai menjalani dan mentaati perintah Allah ini dengan sebaiknya, maka barulah kita layak untuk bergembira. Ya, Aidilfitri diraikan agar kita terus kekal menjadi hamba-Nya yang bersyukur dan mengingati-Nya.   

Hari Raya Ketiga: Aidiladha

Jika Aidilfitri diraikan kerana Ramadan yang dijalani, Allah menghadiahi kita dengan Aidiladha pula setelah hamba-Nya mengerjakan haji.

Penting untuk kita tahu bahawa hari Arafah merupakan hari yang sangat besar nilainya masakan tidak Allah membebaskan azab api neraka kepada hamba-Nya sama ada yang berwuquf di Arafah atau yang juga tidak berwuquf.  

Setelah selesai berwuquf di Arafah yang merupakan salah satu rukun haji bahkan kemuncak ibadah ini, maka Allah menghadiahi kita dengan perayaan yang dinamakan Aidiladha.  

Ya, hanya setelah selesai wuquf di Arafah, maka layaklah kita untuk menyambut perayaan ini sebagai tanda terlepasnnya daripada azab api neraka. Subhanallah! Di situlah juga orang yang tidak kerjakan haji dituntut untuk berqurban. Kita berqurban kerana mahu bergembira dan mensyukuri segala nikmat yang Allah telah kurniakan apatah lagi untuk terus mendekatkan diri kepada Allah..

Aidiladha tahun ini semakin mendekat. Kita masih ada peluang untuk meraikannya dengan melaksanakan badal haji atau upah haji kepada insan kesayangan atau setidak-tidaknya kita rebut pahala berqurban!

Laksana ibadah badal (upah) haji dan qurban di Tanah Suci? MyQURBAN ada mahu meraikan hari raya ini bersama-sama anda. Klik:

Semoga Kita Berhari Raya di Syurga Pula

Bagaimana? Masih sama pemahaman kita tentang tiga hari raya di atas dunia? Pasti tidak lagi bukan?

Nah, jadi kita tidak perlu lagi pening dan rungsing mahu menukar pakaian baharu, peralatan rumah baharu, kereta baharu dan sebagainya semata-mata untuk menyambut hari raya apatah lagi jika tujuannya adalah untuk meraih perhatian orang, bukannya pengampunan Tuhan.

Boleh dilakukan namun biar bersederhana kerana hakikatnya hari raya bukan untuk itu sebaliknya untuk memperbaharui iman di dalam diri. Apa guna andai menukar itu ini  saban tahun, namun iman masih di takuk lama? Apa guna bercantik-cantik di luar,  namun hati masih hitam kelam.

Semoga kegembiraan berhari raya di dunia kita mengikut panduan syariat. Ya, seronok dan gembiranya berhari raya di dunia, barangkali bagaimana agaknya berhari raya di syurga pula?

Wallahu a’lam.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *