Belum Rezeki Jadi Tetamu Allah, 2 Cara Ini Jadikan Zulhijah Kita Kali Tetap Bermakna

Tetamu Allah bulan Zulhijah

Bahagia sungguh menyambut hari atau tarikh penting dalam hidup bukan? Lihatlah, siapa yang tidak gembira menyambut hari ulang tahun kelahiran orang tersayang, hari ulang tahun perkahwinan dan sebagainya. Semestinya hari-hari ini menjadi detik yang sangat dinanti-nanti saban hari sehingga ada yang sanggup membuat persediaan atau persiapan menyambutnya dengan lebih awal dan terperinci.  

Ketika Allah s.w.t. mencampakkan perasaan rindu kepada kita untuk bertemu Ramadan, Allah mengubatinya dengan ibadah berpuasa dan membaca al-Quran yang menjadi amalan istimewa pada bulan ini. Jika Syawal, kita dihadiahi dengan Aidlifitri setelah sebulan berpuasa di bulan Ramadan, Zulhijah juga menjadi salah satu lagi bulan Islam yang amat ditunggu-tunggu dan dirindu.

Istimewanya 10 Hari Pertama Zulhijah

Ya, bulan Zulhijah itu terlalu istimewa apatah lagi 10 hari pertamanya.

Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud: “Tidak ada hari yang amal saleh padanya lebih Allah cintai (amalan yang dilakukan) pada hari-hari ini, iaitu 10 hari pertama bulan Zulhijah.

Zulhijah

Para sahabat bertanya: “Wahai Rasulullah, walaupun jihad di jalan Allah tidak dapat menandinginya?”

Baginda menjawab: “Walaupun jihad di jalan Allah tidak dapat menandinginya, melainkan seorang lelaki yang keluar berjihad bersama hartanya, kemudian dia langsung tidak kembali.” (Riwayat al-Bukhari)

Selain tuntutan berpuasa sunat dan memperbanyakkan berzikir (mengingati) Allah sepanjang 10 hari pertama Zulhijah, Zulhijah juga istimewa lantaran dua ibadah yang hanya dilakukan pada bulan ini, yang tidak ada dalam bulan lain. Apa lagi jika bukan ibadah haji dan berqurban.

Mari kita kenali dua ibadah ini sepintas lalu:

Haji: “Pulang seperti pada hari ibunya melahirkannya”

Jika ibadah umrah boleh dilakukan pada bila-bila masa sepanjang tahun, haji sangat berbeza. Rukun Islam kelima ini begitu eksklusif kerana hanya boleh dilakukan dalam bulan Zulhijah.

Secara mudahnya ulama mendefinisikan haji sebagai berniat menuju Baitullah pada masa yang tertentu dengan niat mengerjakan haji seperti tawaf, sai, wuquf di Arafah dan lain-lain.

Rasulullah bersabda yang bermaksud: “Siapa yang menunaikan haji dan dalam masa itu dia tidak bercakap kotor dan tidak melakukan kejahatan, nescaya dia pulang seperti pada hari ibunya melahirkannya (suci daripada dosa).” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Subhanallah. Itu antara kelebihan mendapat haji yang mabrur. Ya, disebabkan kita bertemu dengan ibadah haji hanya setahun sekali, maka ada juga yang mengambil peluang untuk melaksanakan upah haji atau dikenali sebagai badal haji yang juga hanya boleh dilaksanakan pada bulan ini. Badal haji salah satu cara menjadikan Zulhijah kita tetap bermakna, namun ketahui dahulu syarat-syaratnya.

Qurban: Sebenarnya Kita Sudah Pun Sertai Orang Yang Berhaji

Usahlah bersedih andai kita belum direzekikan menjadi tetamu Allah. Jika orang yang menunaikan haji mendapat kelebihan tertentu, maka bagi yang tidak mengerjakan haji juga sebenarnya ada peluang untuk meraih kebaikan yang besar daripada Allah.

 Bagaimana? Dengan memperbanyakkan berzikir dan menyiapkan binatang qurban. Pendek kata, kita rebut amalan berqurban!

Jika perasan, antara sunnah bagi sesiapa yang hendak melakukan ibadah qurban ialah tidak memotong rambut dan kukunya iaitu ketika memasuki 10 hari terawal Zulhijah. Bukankah ia termasuk ibadah ihram sebagaimana jemaah haji? Bukankah kita sebenarnya telah menyertai orang yang mengerjakan haji? Subhanallah!

Ya, berqurban adalah cara kedua untuk memaknakan Zulhijah kali ini. Apa-apa pun, antara tujuan ibadah qurban ialah menzahirkan kesyukuran diri kepada Allah atas segala nikmat yang diperolehi sepanjang tahun.Tidak menghairankan, ada juga yang mengambil peluang menunaikan ibadah aqiqah pada bulan ini.

Semoga Kita Kaya Jiwa

Nabi menyebut yang bermaksud, “Bukanlah kekayaan itu dengan banyaknya harta benda tetapi kekayaan sebenar adalah kekayaan jiwa.” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Nah, hanya yang kaya jiwa sanggup berkorban; masa, idea, tenaga dan harta. Apalah sangat sedikit harta yang dikeluarkan berbanding kebaikan yang dikurnia Allah. Apalah sangat sedikit nikmat kewangan yang disumbangkan,yang  hakikatnya datangnya daripada Allah itu berbanding menagih lagi kasih sayang dan kecintaan Allah yang lebih luas dan mencurah-curah. Tiada istilah rugi atau menyesal jika kebaikan dilakukan pada jalan Allah, untung lagi ada!

Zulhijjah makin mendekat. Belum terlewat bagi kita yang tidak kerjakan haji untuk sama-sama tetap memeriahkan dan menjadikan Zulhijah kita kali ini lebih bermakna. Ayuh kita rebut peluang ibadah yang hanya diraikan dalam bulan ini; iaitu badal haji dan qurban dan jadikan ia tahun yang lebih baik bersama MyQurban. Insya-Allah!

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *